Wednesday, September 30, 2009

Kelebihan Puasa Enam di bulan Syawal

Abu Ayyub al-Ansari r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun."
(Riwayat Muslim)

Imam Ahmad dan an-Nasai'e meriwayatkan dari Thauban, Nabi SAW telah bersabda: "Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan, sedangkan puasa 6 hari di bulan Syawal, (pahalanya) sebanding dengan puasa 2 bulan, maka itulah bagaikan berpuasa setahun penuh."
(Hadis Riwayat Ibu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Diriwayatkan dalam suatu kisah apabila Rasulullah SAW bersama para Sahabat r.a sedang berada di dalam masjid, ketika sedang Rasulullah SAW mengajarkan ilmu agama kepada para Sahabat, tiba datang seorang perempuan yang amat cantik jelita berjumpa Rasulullah SAW. Kecantikkan perempuan tersebut menyebabkan semua sahabat berpaling ke arahnya. Kemudian, perempuan tersebut menyatakan hasrat agar Rasulullah SAW mengahwinkan dia dengan salah seorang daripada sahabat-sahabat Baginda SAW, tetapi dengan 3 syarat.

Syarat pertama ialah bakal suaminya itu tiap-tiap malam mesti mengkhatamkan bacaan al-Quran 30 juzu'. Syarat kedua pula, setiap hari suaminya itu hendaklah sentiasa mendirikan ibadat sepanjang malam, dan syarat ketiga ialah suaminya hendaklah berpuasa setiap hari sepanjang tahun. Maka dengan syarat ini, sahabat-sahabat Nabi SAW yang memiliki hasrat untuk berkahwin dengan perempuan tersebut hilang rasa keinginan itu. Nabi SAW pun menawarkan kepada para sahabat siapa yang sanggup berkahwin dengan perempuan ini. Akhirnya sahabat yang berada jauh ke belakang sanggup berkahwin dengan perempuan tersebut dengan menunaikan ketiga-tiga syarat tersebut.

Setelah sahabat tersebut berkahwin dengan perempuan yang cantik jelita itu berbulan-bulan lamanya, akhirnya perempuan itu melihat suaminya itu, semakin hari semakin kurang membaca al-Quran, kurang beribadat pada waktu malam, kurang berpuasa. Lalu dia pun pergi berjumpa Rasulullah SAW menceritakan hal suaminya yang telah mengingkari janjinya. Lalu Rasulullah SAW memanggil sahabat tersebut dan bertanyakan kenapa dia tidak menunaikan janjinya ketika mula-mula ingin mengahwini isterinya itu.

Lalu, sahabat tersebut menyatakan Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah menyatakan bahawa pahala membaca Surah Qul Huwallahu Ahad satu kali menyamai pahala membaca 10 juzu' daripada al-Quran? Jadi aku membacanya sebanyak 3 kali. Rasulullah SAW menjawab: Ya.

Kemudian, Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah menyebut bahawa dengan membaca Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, maka pahalanya menyamai ibadat sepanjang malam? Rasulullah menjawab: Ya.

Ya Rasulullah: Bukankah engkau pernah bersabda bahawa Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun? Rasulullah menjawab: Ya. Dengan ketiga-tiga jawapan sahabat tersebut, Rasulullah SAW dan isterinya meraikannya dengan senyuman kesyukuran.

Sunday, September 13, 2009

Bagaimana Bercinta Cara Islam

Hari ini aku buka laman web iluvislam .com....Dan aku terbaca sebuah artikel yang bertajuk "Bagaimana Bercinta Cara Islam". Mungkin ramai yang nak tahu bagaimana CINTA yang disyorkan oleh agama kita sendiri.Ini boleh meleraikan kontroversi yang melanda pada masa kini(dalam IPT aku sendiri) dan isu 'couple' yang semakin berleluasa.Kita ikuti artikel ini......


BAGAIMANA BERCINTA CARA ISLAM?
www.iLuvislam.com
oleh: umairzulkefli*


Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya. Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".

Masyarakat Sudah Lari


Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.

"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.


Konsep Meminang

Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, “Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah HARAM perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.

"Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."


Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.


Perigi Cari Timba

Ada pula yang berkata, “Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, ‘macam perigi mencari timba’, ‘wanita tidak bermaruah’ dan macam-macam lagi.” Sabar dahulu saudari.

Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah??

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.? Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

Indahnya Cara Islam

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

Untuk mereka yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita.

Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir dan batin, maka bernikahlah. Tiada salahnya bernikah ketika belajar. Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber’couple’, dan memuaskan nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan yang telah diterangkan di atas. Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

"Jika tepat masa,ketika, keadaan dan SIAPA, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingannya" -Ustaz Pahrol Mohd Juoi, penulis buku "Tentang Cinta"


p/s: Jadi kepada kaum adam di luar sana, jika sudah memilih wanita pilihan anda...cepat-cepatlah masuk meminang.Tidak perlu berkawan bertahun-tahun tetapi akhirnya berkahwin dengan orang lain. Perkahwinan tanpa restu keluarga juga tidak akan terjadi. Isu 'couple' dan maksiat juga boleh dihindari dengan baik....Alhamdulillah.

Saturday, September 12, 2009

Sumpah Kita Dengan ALLAH...

Aku ternampak satu poster yang ditampal pada dinding Pusat Islam IPT aku....Aku tertarik dengan sepotong ayat yang bertulis.....


"Setiap hari kita bersumpah sekurang-kurangnya 5 kali mengaku kepada Allah (dalam solat kita)"



maksudnya : Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku kerana ALLAH Tuhan semesta alam. Tiada sekutu baginya. Dan dengan demikianlah aku diperintahkan dan aku adalah dar golongan orang-orang yang pasrah (orang-orang Islam).

Jadi, penting bagi kita membaca takbiratul ikhram dalam solat kerana di dalamnya terdapat sumpah kita dengan Allah. Walaupun membacanya dalam solat hanyalah sunat, tetapi setelah membaca artikel ini sepatutnya kita sedar dengan kepentingan takbiratul ikhram....Sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya di tangan Allah s.w.t....

Thursday, September 10, 2009

Was-was???Bagaimana nak merawatnya....

Was-was adalah perkara yang perlu kita jauhi dalam kehidupan kita. Ia merupakan penyakit yang membuatkan seorang manusia tidak yakin pada diri sendiri. Mereka melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali untuk memastikan perbuatan mereka betul-betul telah sempurna.

Contohnya, seorang sahabat aku memegang tombol pintu biliknya berulang-ulang kali untuk memastikan biliknya betul-betul telah dikunci. Sedangkan dia sendiri yang menekan tombol pintu sebelum keluar dari bilik tadi.

Satu keadaan lagi, seorang senior yang rapat denganku mengangkat takbir berulang-ulang kali sebelum betul-betul memulakan solatnya yang memakan masa beberapa minit.

Orang yang mempunyai sifat was-was adalah orang yang berada dalam kerugian kerana segala perbuatan yang dilakukan seharian hanyalah sia-sia belaka.Sifat ini perlu dikikis dalam diri setiap individu kerana boleh mendatangkan mudharat kepada kehidupan manusia seluruhnya.

Bagaimana untuk merawat penyakit was-was???

1) Amalkan membaca surah An-Nas
2) Jangan melakukan sesuatu dalam ibadat dengan amalan yang bertentangan dengan hukum syarak.
3) Jangan amalkan duduk terlalu lama di dalam tandas.
4) Elakkan membaca surat khabar atau buku di dalam tandas.
5) Mengurangkan sikap mempercayai dan mengikut telunjuk hati.
6) Berniat lebih awal dan sebutan tidak salah(dalam solat).
7) Yakin pada diri sendiri.

Monday, September 7, 2009

Fadhilat Ramadhan

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".


Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."



Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."



Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."



Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."



Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."



Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Sunday, September 6, 2009

Lelaki Lembut??

Lelaki lembut atau dikenali juga sebagai pondan dah lama menjadi isu di negara kita. Pagi tadi aku pergi dengar forum dekat Dewan Serbaguna di IPT aku....mengenai isu remaja dan penghayatan dalam bulan Ramadhan.Satu isu yang bagus untuk di perbincangkan semasa menjalani ibadah puasa. Ustaz menyebut mengenai remaja pada masa kini iaitu lelaki sejati, perempuan ,khunsa dan pondan(lelaki lembut). Mungkin mereka terasa dengan penerangan ustaz tadi mengenai sifat semulajadi mereka.Semasa sesi pertanyaan, seorang senior kami yang juga digelar lelaki lembut memberikan hujah dan pendapat mereka mengenai isu ini.

Dia berkata lelaki lembut ini tidak mahu dijadikan begini.Orang disekeliling tidak patut menghina dan mencaci mereka dengan mengejek sifat mereka. Cuba mereka(orang disekeliling) berada di tempat mereka.Mereka tidak melakukan perkara yang menyalahi agama seperti homoseksual yang dilakukan oleh kebanyakan lelaki sejati....Dan ramai di kalangan lelaki lembut ini berjaya sekarang seperti Aznil Hj Nawawi iaitu pengacara nombor satu Malaysia dan Chef Wan, chef yang terkenal juga boleh terus maju walaupun berperwatakan lembut.

Pada pendapat aku, ada betulnya apa yang diperkatakan oleh mereka. Tetapi nasib sesuatu kaum itu boleh diubah jika mereka berusaha untuk berubah. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka berusaha untuk mengubahnya.

Aku teringat dengan cerita mak aku mengenai rakan pejabatnya yang merupakan lelaki lembut. Dia merupakan PAR(Pembantu am rendah) di situ. Dia memang seorang yang lembut, suka membantu orang, berbual dengan perempuan dan baik hati. Walaupun dia lembut, dia mempunyai keinginan untuk berkeluarga seperti orang lain.

Tak lama tu, ada seorang kakak warga tempatan jadi cleaner kat situ...agak cantik la orangnya, sedap mata memandang. Abang yang lembut tadi suka kat kakak cleaner tu. Mula-mula kakak tuh tak suka dengan abang ni....Yelah, abang ni kan berperwatakan lembut. Tapi lama kelamaan kakak tuh dapat menerima sifat semulajadi dan keikhlasan abang tadi yang betul-betul hendak memperisterikannya. Dan lebih menarik lagi, kakak tuh sendiri yang minta keluarga abang lembut tadi masuk meminang.

Masa majlis persandingan kat Dewan Bandar Tun Razak, semua staf dan bos-bos kat pejabat mak aku datang la....Abang tuh menangis sebab semua kawan-kawan dia datang tengok dia bersanding. Dia terlalu terharu. Tapi yang paling terharu bila abang tuh menangis sebab dia tak sangka sangat yang akhirnya dia berkahwin juga macam orang lain.Umur dia dah 36 tahun. Kalau balik kampung tuh, memang selalu mak dia tanya bila nak kahwin.

Jadi kepada lelaki yang lembut di luar sana, berusahalah untuk berubah dan menentukan takdir sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kepada apa yang terjadi pada kita sekarang. Berusaha untuk berubah sedikit demi sedikit. Lama kelamaan Allah akan membantu orang yang betul-betul berusaha di jalanNya.Insyaallah.....

p/s: bersabarlah dengan segala kutukkan dan hinaan manusia, kerana itu semua hanya sementara manakala ganjaran di akhirat sana yang kekal abadi.....

Salam yg tidak perlu / tidak wajib dijawab...

Lama tidak menjenguk blog apabila assignment yang nak dihantar tidak putus-putus pada minggu lepas.....Dalam minggu yang penuh kesibukan itu jugak, terdapat satu hari yang agak bersejarah bagiku apabila kena sound dengan kaum adam yang tidak pernah aku kenali.....

Kisah ini berlaku tak silap pada malam ke-10 Ramadhan. Masa tu aku dengan seorang sahabat dalam perjalanan untuk pergi mengerjakan solat terawih.Kami bertembung dengan segerombolan kaum adam yang baru pulang dari rumah mereka di susur gajah.Ada la beberapa orang yang sengaja menguji agaknya beri salam pada kami....Aku dan sahabat aku diam sahaja. Lepas tuh yang tak disangka, lelaki tadi yang agaknya bengang dan marah sebab kami tak jawab salam dia dengan kuat dia jerit..."Orang bagi salam tak nak jawab, harap je pegi surau...." dan banyak lagi la dia bising-bising. Terkejut aku ada jugak orang yang macam tuh.

Memang la seperti yang kita sedia maklum, bagi salam tu harus tapi jawab salam tuh wajib. Tapi tahu tak yang sebenarnya ada beberapa salam yang tak perlu kita jawab atau tidak wajib di jawab dalam Islam.


ADA 4 SALAM YANG TIDAK PERLU DIJAWAB :

1. Salam dalam penghabisan solat
Apabila seseorang mukmin itu bersolat, di akhir solatnya dia akan memberi salam di kiri dan kanannya...."Assalamualaikum warahmatullah, Assalamualaikum warahmatullah"....Salam itu tidak perlu dijawab oleh siapa yang mendengarnya. Jika salam itu diwajibkan jawab, huru-hara lah sebuah masjid apabila mereka sembahyang berjemaah.

2. Salam dari orang yang bukan Islam(non-muslim)
Apabila kita yakin orang yang memberi salam itu bukan beragama Islam, kita tidak perlu menjawabnya.

3. Salam dari anak-anak muda yang mempermainkan salam.
Apabila ada gadis yang berjalan, kadang kala ada anak-anak muda yang memberi salam dengan berkata "Assalamualaikum....tak jawab dosa"...Salam ini tidak perlu dijawab oleh anak gadis itu kerana anak muda itu mempermainkan salam dan sepatutnya tidak perlulah lelaki yang bukan mahram serta tidak mengenali antara satu sama lain ini memberi salam kepada si gadis. Terdapat banyak cara lain yang diajar Islam untuk bertaaruf.

4. Salam yang diberikan dalam sms
Zaman sekarang apabila semakin maju, perkataan-perkataan dalam sms juga dah dipendek-pendekkan.Salam yang mulia di sisi Islam juga dipendekkan. "Askum" , "akum" dan yang beberapa lagi perkataan yg menunjukkan salam dalam sms tidak perlu dijawab. Lagipun perkataan "akum" dan "askum" ini membawa maksud yang tidak baik dalam Islam dan ia bukan satu lafaz.


(Statement ini aku ambil dari ustaz yang memberi ceramah di surau taman perumahan aku).


Jadi pada kaum adam yang berada di luar sana, fahamilah kami....dan jangan engkau memalukan kami dengan ayat-ayat kesatmu....Sesungguhnya kami ini kaum yang lemah....